Friday, December 17, 2010

Malang Tak Berbau

Malang tak berbau.  Iyalah kalau dah berbau, mesti kita tak gi dekat kan?

Aku tumpang simpati kepada semua mangsa-mangsa letupan di Bekok C ni.  Lagilah terasa apabila salah seorang yang kena tu adalah kawan kita dan isterinya pulak adalah office mate merangkap bf kita pulak.

Bagaimana boleh berlaku? apa puncanya? masih lagi dalam siasatan.. Biarlah orang-orang atasan yang berkenaan teruskan dengan siasatan mereka.  Tapi kita sebagai kawan-kawan sama-samalah mendoakan agar Ariff dan mangsa-mangsa lain-lain cepat sembuh dan juga semoga Cunna tabah menghadapi dugaan yang menimpa.

`Sesungguhnya kamu beruntung apabila Allah memilih kamu untuk diuji akan keimanan kamu.  Kerana semakin banyak ujian yang mendatang, maka, semakin dekat kita denganNYA'

Harian Metro - 15 Dec 2010


6 dibaham bebola api

Oleh Nazdy Harun

MANGSA LETUPAN...(atas dari kiri) Mohd Hamzah, Alias, Mohd Fauzi dan Zamri manakala (bawah) Mohd Rishauddin dan Mohd Arif dirawat di HSNZ.

KUALA TERENGGANU: “Saya nampak satu bebola api menuju ke arah kami ketika saya dan rakan dalam proses menamatkan syif di pelantar minyak Bekok C.

“Saya dan lima rakan lain terkena bebola itu menyebabkan kami mengalami lecur di beberapa anggota badan termasuk di muka,” kata Alias Abdullah, 52, seorang daripada enam pekerja yang terbabit dalam kebakaran pelantar minyak milik Petronas, kira-kira 200 kilometer dari perairan Terengganu.

Dia yang mengalami lecur kecil di muka menceritakan kejadian itu kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam. 



Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam kelmarin, seramai 108 pekerja berada di pelantar itu, tetapi hanya enam pekerja mengalami kecederaan. Kebakaran dipercayai berpunca daripada paip gas yang bocor.

Menurut Alias, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan dia bersama rakan tidak dapat berbuat apa-apa apabila melihat bebola itu meluru laju ke arah mereka.




“Kami diberikan rawatan awal di pelantar minyak sebelum diterbangkan dengan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan dibawa ke hospital ini untuk rawatan lanjut. 

“Saya bersyukur kerana kecederaan yang dialami tidak begitu parah dan hanya mengalami lecur akibat disambar api pada muka,” katanya. 

Selain Alias, turut cedera dalam kejadian itu ialah Mohd Rishauddin Ismail, 37, Mohd Hamzah Abdullah, 32, Mohd Fauzi Ibrahim, 37, Mohd Arif Farimi, 28, dan Zamri Wagiman, 32. 

Mohd Hamzah ketika menceritakan kejadian itu kepada Ahmad Said pula berkata, api menyambar mereka pada hujung waktu bertugas di pelantar itu. 

“Ketika itu kami sibuk menyiapkan tugasan dan saya tidak tahu bagaimana kebakaran itu boleh berlaku,” katanya. 

Sementara itu, Petronas Carigali Sdn Bhd dalam kenyataan akhbar berkata, kejadian berlaku di pelantar Bekok C yang berkedudukan 200 kilometer dari pantai Semenanjung Malaysia sejurus selepas tengah malam dan api berjaya dikawal pasukan tindakan kecemasan pelantar terbabit. 

“Terdapat 108 pekerja di pelantar itu ketika kejadian dan enam daripadanya mengalami kecederaan dan dibawa ke HSNZ untuk menerima rawatan. Baki 102 pekerja lagi dipindahkan ke pelantar berhampiran,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, aktiviti di Bekok C dihentikan sementara dan siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian. 

Ahmad Said yang ditemui selepas melawat mangsa berkata, beliau bersyukur kerana kemalangan itu tidak mengorbankan nyawa. 

“Mujur pelantar tidak meletup akibat kejadian itu kerana bilangan pekerja ketika kejadian ramai,” katanya.



No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...